Suhu politik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini semakin hangat susulan persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden antara penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.
Pertembungan antara Menteri Ekonomi dengan Naib Presiden parti itu yang dikenali dengan jolokan ‘Puteri Reformasi’, bukan sekadar perebutan kerusi nombor dua semata-mata, sebaliknya menjadi penentu hala tuju politik PKR, Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan Madani menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ini kerana kedua-dua calon jawatan nombor dua parti tersebut menerima sokongan ramai pemimpin cabang serta penyandang jawatan Naib Presiden dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sedia ada.
Rafizi mendapat sokongan padu daripada tiga penyandang kerusi Naib Presiden iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Selain itu, pencalonan Rafizi turut disokong Pengarah Strategi PKR merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Ampang yang juga calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail.
Sebagai anak Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Nurul Izzah turut menerima sokongan lebih 200 ketua cabang serta pemimpin lain termasuk bekas Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan ramai lagi.
Kehangatan kempen pemilihan PKR turut memuncak apabila Rafizi menggunakan platform siri jelajah audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri? manakala Nurul Izzah memilih program Temu Rapat Akar Umbi bagi meraih sokongan anggota parti menjelang pemilihan pada 23 Mei ini.
Penganalisis politik, Dr G Manimaran berpandangan pertembungan antara kem Rafizi dan Nurul Izzah berpotensi membawa PKR kepada krisis dalaman seperti yang berlaku dalam UMNO pada 1988 (membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46) serta krisis Pas pada 2013 yang akhirnya menyaksikan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015.
Beliau turut mengaitkan senario ini dengan insiden perebutan kuasa antara Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dan Timbalannya, Tan Sri Lim Ah Lek pada 2002 yang menyaksikan kedua-dua tokoh itu berundur daripada politik pada 2004.
Manimaran berkata, pemilihan kali ini juga lebih sengit berbanding perebutan pada 2022 yang menyaksikan pertembungan antara Team Rafizi dan Team Saifuddin Nasution.
“Biarpun di atas kertas hanya beberapa pemimpin seperti Aminuddin, Nik Nazmi, Lih Kang dan Rodziah menyatakan sokongan terbuka kepada Rafizi, namun hakikatnya ramai perwakilan turut menyokong beliau secara senyap.
“Justeru, saya melihat pemilihan kali ini sebagai ujian paling getir buat PKR. Jika Presiden merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersilap langkah, ia boleh membawa impak negatif dan melemahkan parti itu pada masa depan.
“Anwar perlu menguruskan pemilihan ini dengan cermat, jika tidak, beliau mungkin menyaksikan sejarah UMNO 1988 dan Pas 2015 berulang,” ujarnya lagi.
Manimaran menjelaskan, persaingan sengit antara Rafizi dan Nurul Izzah ini turut dilihat sebagai ulangan pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO antara Anwar dan Allahyarham Tun Ghafar Baba.
“Biarpun Anwar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, namun jatuh bangunnya dalam politik dan kerajaan Madani tetap bergantung kepada cara beliau menguruskan parti selepas pemilihan nanti,” jelasnya.