KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis dengan masa depan UMNO apabila melihat bibit-bibit kebangkitan yang sedang diterajui golongan muda.
Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan pengalaman peribadi bertemu sendiri dengan anak-anak muda yang bersemangat dan berjiwa UMNO.
Beliau berkata, antara pengalaman peribadinya itu bertemu 15 mahasiswa dari pelbagai universiti di Jordan yang berhasrat menubuhkan semula Kelab UMNO Jordan.
"Begitu juga dengan kumpulan mahasiswa kita di Beijing, China, yang turut menyatakan minat untuk menyertai UMNO.
"Saya difahamkan bahawa urusan pendaftaran mereka telahpun selesai baru-baru ini," katanya melalui bingkisan sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-79 yang dikongsikan melalui Facebooknya.
Menteri Besar Pahang itu berkata, Sekolah Patriotik UMNO yang ditubuhkan beberapa bulan lalu bakal menyaksikan graduan sulungnya tamat pengajian bersempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO kali ini.
Beliau berkata, menariknya, mereka juga terdiri daripada golongan muda yang berminat dan mahu mendalami perjuangan parti.
"Terbaharu, pada 9 Mei lalu, saya telah dijemput untuk bersama kira-kira 60 anak muda yang berhasrat menghidupkan kembali Putera UMNO.
"Kita mungkin bermula kecil tetapi dengan semangat dan sokongan akar umbi, khususnya anak-anak muda, insya-ALLAH UMNO akan kembali kuat," ujarnya yang juga Pengerusi UMNO Pahang.
Wan Rosdy berkata, UMNO telah melalui detik paling sukar dalam sejarahnya dan perkara itu telah nyatakan dalam ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
"UMNO ialah wadah perjuangan yang telah diwariskan kepada generasi saya oleh para pendahulu.
"Melihat perkembangan yang positif ini, saya optimis dan berasa lega terhadap masa hadapan parti kita. Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun UMNO ke-79," ujarnya.