Aminuddin belum putuskan pertahan jawatan Naib Presiden PKR

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengambil pendekatan 'kunci mulut' berhubung kemungkinan menghantar borang pencalonan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis.

Aminuddin berkata, beliau masih belum memuktamadkan keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden atau mengisi jawatan lain.

"Seawal jam 12.01 tengah malam ini sudah boleh hantar borang pencalonan. Mana-mana yang nak bertanding jawatan Presiden ke, Timbalan, Naib, MPP (Majlis Pimpinan Pusat) boleh isi borang.

"Saya tak boleh nak sahkan bertanding atau tidak, saya belum isi borang lagi. Nanti kalau borang ditolak, malu saya.

"Tunggu masa sesuai, solat tahajud dulu ke. Belum ada keberanian lagi. Tunggu lah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin sebelum ini menyatakan kesediaan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR tahun ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu terlalu yakin kerana sedar bakal berdepan cabaran daripada pemimpin lain yang mahu mencuba nasib.

Beliau memaklumkan hanya akan membuat pengumuman rasmi selepas borang pencalonan dihantar.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung cadangan pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau berpandangan agar proses demokrasi diraikan dan semua pihak layak bertanding.

"Itu hak masing-masing, kita raikan demokrasi. Siapa yang mencadang dan menyokong itu terpulang, semua ada kelayakan.

"Saya pun kalau ada yang calonkan sebagai Timbalan Presiden, saya tiada masalah. Soal bertanding atau tidak, itu hal nombor dua.

"Kalau ramai sokong dan kalau boleh menang, saya pun akan lawan," selorohnya.

Ditanya mengenai pendirian Negeri Sembilan berhubung perkara itu, beliau berkata ia perlu dirujuk kepada Ketua-Ketua Cabang negeri berkenaan.

"Setakat ini sudah ada sokongan daripada Melaka, Johor, Perak dan Selangor tetapi tuan badan (Nurul Izzah) belum keluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

"Itu hak masing-masing. Kalau tanya pendirian Negeri Sembilan, perkara itu kena tanya Ketua-Ketua Cabang (Negeri Sembilan). Saya secara peribadi tiada masalah," katanya.