Lima Ketua Cabang PKR Melaka sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

MELAKA - Lima Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti itu bagi penggal akan datang.

Mereka terdiri daripada Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang Tangga Batu, Azlan Osman; Ketua Cabang Jasin, Jagatheason Ramiah dan Ketua Cabang Kota Melaka, Md Yusoff Ahmad.

Menurut mereka, Nurul Izzah telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.

Nurul Izzah juga dilihat mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif.

"Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru-baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam 'Project Syndicate Forward Thinkers List' tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.

"Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.

"Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan. Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut," kata mereka dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Mereka menjelaskan, PKR telah melalui perjalanan panjang yang penuh ranjau dan pengorbanan sejak penubuhannya.

Gerakan reformasi yang digerakkan lebih dua dekad lalu bukan sahaja berjaya merubah landskap politik tanah air tetapi turut melahirkan satu generasi pemimpin dan pendukung yang setia, berprinsip dan komited untuk meneruskan perjuangan demi keadilan dan demokrasi.

"Kini, dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan kompleks, PKR perlu terus memperkukuh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan, tetapi juga mampu membawa nilai reformasi ke hadapan, memacu agenda perubahan dan menterjemah aspirasi rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

Pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang kini menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini mengesahkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Sementara itu, bekas setiausaha agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang dikatakan akan mencabar Rafizi masih mengambil sikap tunggu dan lihat.