Abdullah Sani sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti itu bagi penggal akan datang.

Menurutnya, Nurul Izzah bukan sekadar pewaris legasi perjuangan reformasi tetapi seorang tokoh yang terbukti berwibawa, berprinsip dan memiliki rekod kepimpinan cemerlang.

Katanya, ketegasan beliau dalam memperjuangkan nilai keadilan, keterangkuman serta kebajikan rakyat menjadikannya simbol harapan kepada generasi muda dan penggerak utama agenda pembaharuan dalam Keadilan.

"Kepimpinan beliau yang bersifat inklusif, idea segar serta komitmen terhadap prinsip reformasi menjadikan beliau calon paling layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden.

"Ini bukan sahaja akan memperkukuh struktur kepimpinan parti, malah akan mengembalikan semangat penyatuan dalam Keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang kini menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini mengesahkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Sementara itu, bekas setiausaha agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang dikatakan akan mencabar Rafizi masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

Abdullah Sani berkata, kepimpinan gandingan antara Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah akan membentuk pasukan yang kuat dan progresif.

"Ia juga diyakini rakyat Malaysia dalam meneruskan agenda pembaharuan yang telah lama diperjuangkan.

"Kepada semua anggota Keadilan di seluruh negara, marilah kita bersatu dan memberikan sokongan kepada Nurul Izzah sebagai satu simbol harapan baharu serta kesinambungan perjuangan reformasi," ujarnya.