Wanita PKR Pulau Pinang sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

GEORGE TOWN- Wanita PKR Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Nurul Izzah disifatkan sebagai pemimpin berwibawa yang komited memperjuangkan prinsip keadilan sosial, hak asasi manusia serta reformasi institusi sepanjang penglibatannya dalam politik.

“Sejak bergelar Puteri Reformasi, beliau konsisten memperjuangkan hak wanita, kebebasan bersuara, keadilan sosial serta menuntut pendidikan berkualiti untuk semua rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, menurut mereka, Nurul Izzah dilihat tegas memperjuangkan isu ekonomi rakyat dan politik berintegriti dengan menolak sebarang bentuk rasuah.

"Prinsip perjuangan yang dibawa anak sulung Perdana Menteri itu juga selari dengan konsep Malaysia Madani yang diterapkan dalam pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Keadilan.

“Beliau bukan sahaja penting dalam memperkasakan suara Keadilan di peringkat nasional malah membawa peranan besar di peringkat antarabangsa,” tambah mereka.

Sehubungan itu, Wanita Keadilan Pulau Pinang berkata, mereka yakin bahawa kepimpinan Nurul Izzah mampu membawa parti ke arah Malaysia yang lebih adil dan progresif.

“Kami berdiri teguh bersama beliau dalam usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” ujar mereka.

Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada 24 Mei ini.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden kini menjadi tumpuan, terutama selepas timbul spekulasi mengenai kedudukan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk mempertahankan jawatan itu, berikutan beberapa nama besar yang dikatakan berada dalam kem beliau tewas pada pemilihan Cabang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman pada Selasa dilaporkan mencadangkan Rafizi memberi laluan mudah kepada bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil alih jawatan itu.

Saifuddin Nasution masih belum mengumumkan sama ada beliau akan bertanding, selepas tewas kepada Rafizi pada pemilihan PKR 2022.