SHAH ALAM - Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Langat menjadi wakil terbaharu mengumumkan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025–2028.
Perkembangan tersebut menjadikan Nurul Izzah kini mendapat sokongan daripada 12 cabang PKR.
Menerusi kenyataan bersama, Ketua Cabang PKR Kuala Langat, Mohd Afiq Mohd Tuniman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Langat, Rifhan Rahimi Mahmud berkata, Nurul Izzah adalah lambang idealisme reformasi dan keberanian dalam memperjuangkan keadilan serta hak rakyat.
Menurut mereka, pengalaman Nurul Izzah sebagai wakil rakyat, puteri reformasi dan pemimpin wanita telah membuktikan keupayaannya untuk memimpin dengan integriti, keikhlasan dan wawasan yang jelas.
"Kami percaya bahawa kepimpinan Nurul Izzah akan membawa nafas baharu kepada parti dan menyatukan semula kekuatan akar umbi.
"Beliau bukan sahaja mempunyai ketokohan untuk berdiri di barisan hadapan, tetapi juga mampu mengangkat suara anak muda dan wanita dalam struktur tertinggi parti," menurut mereka pada Selasa.
Sebelum ini, beberapa kepimpinan cabang PKR negeri menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Mereka terdiri daripada Ketua Cabang PKR Tapah, Azam Afandi; Ketua Cabang PKR Batu Gajah, Tamil Selvan; Ketua Cabang PKR Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad dan Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamed Noor.
Turut menyatakan sokongan terbuka terhadap Puteri Reformasi PKR itu ialah Cabang PKR Melaka terdiri daripada Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang Tangga Batu, Azlan Osman; Ketua Cabang Jasin, Jagatheason Ramiah dan Ketua Cabang Kota Melaka, Md Yusoff Ahmad.
Selain itu, Ketua Cabang Kuala Selangor, M Sivabalan dan Ketua Cabang Hulu Langat, M Rajen dari Cabang PKR Selangor turut menyatakan sokongan sama.
Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
Ia susulan timbul spekulasi mengenai kedudukan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk mempertahankan jawatan itu berikutan beberapa nama besar yang dikatakan berada dalam kem beliau tewas pada pemilihan Cabang, baru-baru ini.
INFO:
SOKONGAN CABANG TERHADAP CALON TIMBALAN PRESIDEN PKR
Nurul Izzah Anwar:
- Tapah
- Batu Gajah
- Seremban
- Hang Tuah Jaya
- Alor Gajah
- Tangga Batu
- Jasin
- Kota Melaka
- Kuala Selangor
- Hulu Langat
- Kuala Langat
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail:
- Beaufort
- Semporna
- Titiwangsa
- Tanjong Karang
Datuk Seri Rafizi Ramli:
- Tiada