Kongres PKR diawalkan sehari, beri laluan PM hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memulakan Kongres Nasional 2025 sehari lebih awal dari jadual asal bagi memberi laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara pada hujung bulan ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, perubahan tarikh kongres kepada 24 Mei itu dibuat setelah mengambil kira komitmen rasmi perdana menteri yang dijadualkan menghadiri persidangan serantau tersebut pada 26 dan 27 Mei.

"Keputusan ini dibuat demi kelancaran urusan negara dan perjalanan kongres.

"Kami mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama terhadap penyelarasan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fuziah, Kongres Nasional akan berlangsung secara fizikal dengan kehadiran lebih 10,000 perwakilan dari seluruh negara, manakala lebih 20,000 perwakilan akan terlibat dalam proses pemilihan secara dalam talian.

Sementara itu, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei, manakala pemilihan pusat dijadualkan pada 23 Mei.

Majlis perasmian Kongres Nasional pula akan diadakan pada malam 23 Mei.

Kongres kali ini dijangka menjadi pentas penting buat kepimpinan parti menyampaikan amanat dan hala tuju terkini menjelang separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.