JOHOR BAHRU – Cadangan meletakkan Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti 2025 disambut positif oleh pimpinan muda parti yang melihatnya sebagai pencetus persaingan lebih terbuka dan sihat dalam kalangan tokoh besar parti itu.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, kehadiran Nurul Izzah bakal melonjakkan demokrasi dalaman parti dengan menawarkan pilihan yang segar kepada ahli akar umbi.
“Dengan penyertaan tokoh seperti Rafizi Ramli, yang kini menyandang jawatan Timbalan Presiden, dan Datuk Seri Saifuddin Nasution, pertandingan kali ini dijangka menjadi lebih kompetitif.
"Kehadiran Nurul Izzah akan menjadikan saingan ini lebih terbuka, progresif dan menggambarkan kematangan demokrasi dalam PKR,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Nurul Izzah membawa gabungan idealisme generasi muda dan pengalaman sebagai pemimpin parti serta wakil rakyat sejak era awal Reformasi.
“Beliau bukan sahaja simbol perjuangan Reformasi sejak 1998, tetapi juga seorang pemimpin berprinsip, berintegriti dan dekat dengan rakyat. Beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden dan mengetuai pelbagai portfolio penting dalam parti dan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau yang juga Ketua Cabang PKR Pulai, pencalonan Nurul Izzah juga mencerminkan komitmen PKR terhadap agenda memperkasa kepimpinan wanita dan memperluas keterangkuman dalam barisan tertinggi parti.
“PKR sentiasa menjadi wadah pelbagai suara dan latar belakang. Pertandingan kali ini bukan soal individu semata-mata, tetapi soal hala tuju parti menjelang cabaran politik yang lebih besar,” ujarnya.
Pemilihan PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei dengan beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Presiden menjadi tumpuan ahli dan pemerhati politik tanah air.