KOTA KINABALU - Gesaan supaya Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi laluan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai cubaan memecahbelahkan kesatuan dalam parti itu.
Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah, Fekirie Gobet berkata, beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berhubung jawatan Timbalan Presiden sempena pemilihan parti kali ini.
"Saya menganggap ia sebagai satu kenyataan yang bertujuan memecah belah kesatuan dalam parti.
"Seperti sedia maklum hubungan Rafizi dan Saifuddin sangat baik dan bagi memastikan pemilihan berjalan dengan baik, dua tokoh ini sudah beberapa kali bertemu bagi membincangkan isu pemilihan dengan baik.
"Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah beberapa kali memaklumkan agar Rafizi diberikan laluan mudah pada pemilihan kali ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah itu lagi, ini bermaksud Presiden mahu supaya Saifuddin berlapang dada dan tidak bertanding bagi jawatan tersebut.
Tambahnya, tidak dinafikan sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, setiap anggota boleh mengambil bahagian untuk bertanding bagi jawatan yang mereka layak.
"Namun Presiden sebelum ini dengan jelas menyatakan rundingan juga sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
"Setiap pemilihan pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati, namun kita melihat semua pihak masih mampu mengawal keadaan termasuk mereka yang tewas pada pemilihan kali ini," katanya.
Fekirie dalam pada itu berkata, Rafizi seorang Menteri Ekonomi yang sangat aktif dan berjaya dalam menjalankan amanah.
"Beliau yang jarang mengambil cuti juga perlu masa rehat apatah lagi umum tahu bahawa beliau mempunyai beberapa masalah kesihatan.
"Walaupun cuti Rafizi panjang, namun saya dimaklumkan hari ini beliau telah kembali berkerja memandangkan banyak keperluan yang memerlukan beliau sendiri hadir selaku Menteri Ekonomi.
"Inilah menteri yang rajin bekerja dan patut dijadikan contoh, bukan difitnah," katanya.