SEREMBAN - Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp Kah Chong diingatkan agar meneliti semula sejarah pembentukan negara sebelum mengatakan Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu sekiranya tidak tahu tentang sejarah negara.
"Walaupun beliau hanya sebut bukan hak eksklusif mana-mana kaum, tapi kita boleh faham apa yang dimaksudkan ialah kaum Melayu.
"Adakah beliau buta sejarah atau mahu menafikan sejarah? Kepada Roger Yapp, jangan keluarkan kenyataan yang boleh menghilangkan semangat kasih sayang sesama kaum di negara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, seorang pemimpin perlu mengeluarkan kenyataan yang positif dan boleh mengharmonikan lagi hubungan antara kaum di negara ini.
Bagaimanapun katanya, kenyataan Roger Yapp pula seolah-olah cuba mempertikaikan kedudukan orang Melayu di negara ini.
"Kita tak pernah menyebut bagaimana kedatangan orang India dan Cina di Malaysia ini. Kita tahu ia boleh menggugat keharmonian dalam negara ini.
"Lagi pun kita berbilang kaum sudah hidup dalam suasana harmoni. Kenapa perlu mengeluarkan kenyataan yang kita tahu boleh mengguris hati antara kita?" katanya.
Tegas beliau, pemuda UMNO akan terus bersuara sekiranya ada sesiapa yang mengeluarkan kenyataan dan melakukan perkara yang boleh merosakkan keharmonian negara.
"Kami pemuda UMNO tidak pernah keluar kenyataan yang membuatkan kaum-kaum lain marah. Tapi kalau ada yang mulakan dulu, UMNO tidak akan berdiam diri.
"Dalam Perlembagaan UMNO memang jelas, kita akan mempertahankan orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu, apatah lagi negara.
"Kalau kita tak bersuara, maknanya kita tak ikut perlembagaan. Apa sekali pun pemuda UMNO akan tetap keluar kenyataan balas sekiranya ada kenyataan yang boleh merosakkan keharmonian dalam negara,"katanya.
Sebelum ini Roger Yapp dilaporkan berkata, Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya dimiliki semua warganegaranya tanpa mengira kaum.
Katanya, masa depan negara ini juga mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan.