Rafizi sudah kembali bertugas

SHAH ALAM – Khabar angin mengenai peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terjawab apabila beliau kembali bertugas pada Selasa.

Sumber Sinar Harian memaklumkan, Rafizi hadir ke pejabat kementeriannya untuk melaksanakan tugas seperti biasa, sekali gus menamatkan spekulasi peletakan jawatannya susulan cuti yang diambilnya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Rafizi akan memberi sebarang penjelasan berhubung perkara tersebut.

Desas-desus mengenai Rafizi, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), didakwa mengambil cuti panjang dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan cabang PKR baru-baru ini, mencetuskan perbincangan hangat.

Rafizi juga dilaporkan meluahkan hasrat untuk meletak jawatan dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya sebelum ini menegaskan, tindakan Rafizi yang didakwa mengambil cuti panjang tidak perlu dijadikan isu.

Beliau turut mengesahkan bahawa cuti yang dimohon Ahli Parlimen Pandan itu hanyalah beberapa hari dan bukannya sehingga hujung bulan seperti yang dilaporkan.