SHAH ALAM - Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah menafikan dakwaan bahawa konflik melibatkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja berpunca daripada cubaan mengatur keputusan pemilihan parti tahun lalu.
Beliau berkata, proses pemilihan parti tersebut dijalankan secara telus, adil dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
Katanya, konflik sebenar timbul akibat rasa tidak setuju terhadap tindakan Pengerusi Bersatu Perak itu memohon pertukaran tempat duduk antara dua wakil rakyat parti termasuk Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini saya belum berjumpa Peja untuk bertanya apa sebabnya. Tetapi saya rasa ia berpunca daripada cadangan menukarkan kerusi, hendak letak hierarki yang lebih kanan di bawah sidang DUN.
“Soal dakwaan atur keputusan pemilihan parti pula, hanya orang yang kalah sahaja berani buat dakwaan tersebut.
“Saya bertanding dengan Peja dan saya kalah. Jadi saya boleh beritahu bahawa pemilihan parti itu berjalan dengan betul, telus dan teratur,” katanya kepada Sinar Harian.
Laporan pada Selasa mendakwa satu SD ditandatangani oleh 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang meminta agar kedudukan Ahmad Faizal sebagai pengerusi negeri dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain.
Katanya, isu berkenaan juga tidak mencerminkan berlakunya konflik dalaman sehingga boleh menjejaskan kestabilan parti di peringkat nasional.
“Tidak ada, konflik berkenaan tidak akan memberi kesan di peringkat nasional. Ia bukan berlaku di Selangor.
“Untuk SD itu pula, saya pun tidak tahu wujudnya SD itu dan saya bukan dalam posisi yang boleh beri komen mengenai perkara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full berkata, pimpinan pusat juga dalam usaha membantu isu di Perak dan dijangka akan selesai secara baik dalam masa terdekat.
“Semua lapisan pimpinan parti harus mara ke depan, bersedia menghadapi cabaran yang lagi besar sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN),” ujarnya.