Veteran UMNO saran Bersatu bubar parti, kembali sertai UMNO

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Veteran UMNO Malaysia menyarankan agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bekerjasama dengan UMNO, sebaliknya kembali bersama dalam UMNO.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Bersatu sepatutnya mengadakan perhimpunan agung khas bagi membubarkan parti itu dan menyertai semula UMNO secara 'en bloc’.

“Apa yang perlu pucuk pimpinan Bersatu lakukan ialah memanggil perhimpunan agung khas dan membuat keputusan membubarkan Bersatu seperti yang pernah dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah semasa pembubaran Semangat 46.

“Semua ahli Bersatu kembali semula kepada UMNO secara 'en bloc’. Itulah cara yang terbaik kalau Bersatu mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Bukan bekerjasama dengan UMNO tetapi bersama dalam UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, Bersatu dan UMNO berkongsi asas ideologi yang sama dan disebabkan itu, parti terbabit bersedia untuk menjalin kerjasama bagi mencapai misi yang sama.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, kenyataan Hamzah yang berulang kali menyatakan kesediaan Bersatu untuk bekerjasama dengan UMNO mungkin dilihat secara positif dan berniat baik.

Namun, jelasnya lagi, realiti kenyataan tersebut membuktikan kebimbangan Bersatu terhadap nasibnya bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN) yang dilihat rapuh dan menunggu perpecahan.

“Realitinya kenyataan itu membuktikan kebimbangan Bersatu terhadap nasibnya bersama Pas dalam PN yang retak menunggu belah.

“Bersatu tahu Pas telah berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereka diterima ke dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali Pas telah menghantar 'wakil-wakil' mereka berjumpa PMX untuk tujuan itu,” ujarnya.

Dakwa Mustapha, Bersatu menyedari perkara tersebut dan terasa akan ditipu oleh Pas. Jadi, sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, mereka menawarkan untuk bekerjasama dengan UMNO atas alasan dasar perjuangannya adalah sama.

“Bersatu menyedari itu dan terasa mereka akan ‘dikencing’ Pas.

“Maka sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, mereka menawarkan untuk bekerjasama dengan UMNO atas alasan dasar perjuangan UMNO dan Bersatu adalah sama, iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

“Kenyataan itu benar kerana Perlembagaan Bersatu adalah ‘copy paste’ Perlembagaan UMNO. Malah, seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu adalah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) UMNO,” katanya.