PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan ketiadaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan bercuti selama sebulan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan dasar.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya dimaklumkan melalui laporan media bahawa Rafizi kini dalam tempoh cuti sehingga 31 Mei dan perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju ekonomi negara.
Menurutnya, ketika ini, Malaysia sedang menghadapi peperangan dagang akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat sebanyak 24 peratus.
"Rakyat sudah tentu mengharapkan menteri yang memegang portfolio penting berkaitan pelaburan, ekonomi dan industri untuk memberikan komitmen penuh dalam memastikan kestabilan ekonomi serta daya saing industri negara.
“Dengan ketiadaan Menteri Ekonomi selama satu bulan pada waktu yang kritikal, ketika pelbagai dasar sedang dibentuk dan diputuskan kerajaan, Armada berpandangan ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan masa depan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Harris turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membatalkan kelulusan cuti Rafizi kerana negara memerlukan anggota Jemaah Menteri khususnya dalam bidang ekonomi untuk terus berkhidmat dan mencari penyelesaian terbaik bagi cabaran semasa.
“Armada memberi amaran kepada semua anggota Kabinet agar tidak mencampuradukkan isu dalaman parti dengan urusan pentadbiran negara.
“Rakyat tidak bersalah dalam sebarang isu berkaitan pemilihan PKR. Maka, janganlah rakyat dihukum melalui tanda-tanda protes politik,” ujarnya.