JEMPOL – Pemilihan semula Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jempol menyaksikan kemenangan berpihak kepada Manivanan Gowin, sekali gus membuktikan bahawa prinsip perjuangan tulen masih subur dalam parti itu.
Manivanan yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR berkata, kejayaan tersebut bukan kemenangan peribadi, sebaliknya hasil usaha pasukan beliau yang menjalankan kempen secara profesional, bermaruah dan menjunjung nilai keadilan.
"Saya ingin merakamkan penghargaan khusus kepada pasukan saya yang mengekalkan tahap integriti tinggi sepanjang tempoh berkempen.
"Dalam menghadapi tekanan dan provokasi, mereka tidak pernah memilih jalan mudah dengan menggunakan strategi keji, serangan peribadi, fitnah atau provokasi melampau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kemenangan itu merupakan satu amanah besar untuk memimpin akar umbi serta rakyat di kawasan Jempol.
“Pertempuran kali ini bukan mudah. Tiga calon telah bergabung dan disokong oleh pelbagai pihak untuk menjatuhkan saya. Namun kami tetap teguh dengan semangat juang yang tinggi. Ini baru permulaan. Ayuh, kita terus mara bersama!” katanya.
Dalam pemilihan semula tersebut, Manivanan memperoleh 571 undi, menewaskan Muhammad Asri Abdullah (299 undi), K. Mariappan (39 undi), manakala seorang lagi calon telah hilang kelayakan.
Terdahulu, keputusan pemilihan pada 13 April lalu dibatalkan selepas pemenang ketika itu, Azizah Salim Shah, didapati masih merupakan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika bertanding. Azizah hanya mengisytiharkan keluar daripada Pejuang selepas diumumkan menang, menyebabkan keputusan itu terbatal.