Keputusan pelik, ada lonjakan pengundi ketika sistem tergendala - Wan Ibnul Bahar

SHAH ALAM - Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selayang, Datuk Wan Ibnul Bahar Wan Ismail menyifatkan keputusan pemilihan semula cabang itu sebagai pelik.

Beliau mendakwa, berlaku lonjakan mendadak kira-kira 700 pengundi sewaktu sistem tergendala antara jam 4 hingga 4.30 petang pada hari pengundian.

“Saya ucapkan tahniah kepada Chua Wei Kiat tetapi ada beberapa hal pelik yang menyaksikan lonjakan peratusan pengundi sebanyak 700 orang dan kemudian Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memberi masa tambahan mengundi sehingga 5.30 petang.

“Mengikut pasukan Get Out The Vote (GOTV) saya, sebelum gangguan sistem, peratusan yang JPP telah isytihar menunjukkan kami telah menang, malah tiada persetujuan dari saya sebagai calon utama untuk penambahan masa," katanya.

Wan Ibnul Bahar berkata, beliau akan menghantar e-mel rasmi untuk mendapatkan penjelasan lanjut secara dalaman dan tetap menyatakan kesetiaan kepada parti.

“Saya setia dan akur kepada parti, cuma kemungkinan ada faktor teknikal sulit yang menjejaskan keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Wei Kiat dilaporkan tewas dalam pertembungan tiga penjuru apabila hanya memperoleh 1,648 undi, berbanding Kamarudin Mohd Hussain yang mendapat 2,041 undi, manakala Wan Ibnul Bahar memperoleh 28 undi.

Namun dalam pemilihan semula, Wei Kiat berjaya memperoleh 1,945 undi, menewaskan Wan Ibnul Bahar yang meraih 1,693 undi, manakala seorang lagi calon hilang kelayakan bertanding.

Mengulas lanjut, Wan Ibnul Bahar yang juga Penyelaras Persatuan Penduduk Rumpun Bandar Country Homes Rawang mendakwa, Wei Kiat menggunakan populariti, kuasa dan peruntukan sebagai wakil rakyat untuk meraih sokongan.

“Pada pendapat peribadi, saya telah menang dengan merit ketua popular PKR Selayang yang merujuk kepada sokongan pengundi berdasarkan latar belakang sebagai aktivis di dalam dan luar negara walaupun saya tiada pangkat dalam parti berbanding dengan Wei Kiat.

“JPP juga hanya memberi notis kepada saya dalam tiga atau empat hari sahaja untuk menghadapi pemilihan semula sedangkan saya tiada di pejabat dan pasukan lama saya telah kembali kepada rutin harian mereka," katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penyokong kuat Wei Kiat yang menurutnya lengkap dengan ‘senjata canggih’ berbanding dirinya yang hanya berbekalkan ‘senjata tumpul’.

“Walaupun begitu, perbezaan undi hanya 252 sahaja,” ujarnya.