SHAH ALAM – Tuduhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan UMNO kini 'mempersuci DAP' satu naratif bukan sahaja tidak berasas, bahkan sangat ironi datang daripada seorang yang pernah menjadi sahabat karib parti itu suatu ketika dahulu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Pas bukan sahaja menyokong calon-calon DAP di kawasan majoriti Melayu, bahkan ‘menghalalkan’ penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam.
"Sejarah tidak mudah dipadam, malah masih segar dalam ingatan rakyat bagaimana Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Tindakan Pas itu semata-mata untuk menjaga hati sekutunya ketika itu.
"Malah, ada ketikanya Pas mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli mereka mengundi DAP, atas nama tahaluf siyasi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa gabungan antara UMNO dan DAP mensucikan DAP yang didakwanya anti-Islam susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, minggu lalu.
Abdul Hadi mendakwa kemenangan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UmDAP, gelaran yang diberikan kepada kedua-dua parti terbabit.
Dalam pada itu, Razlan berkata, tindakan Abdul Hadi yang penuh dengan emosi dan sindiran terhadap UMNO tidak hanya menyerang lawan politik, tetapi memperdagangkan fitnah dan sentimen demi menutup kegagalan partinya sendiri.
"Tuduhan Pas itu hanya gerakan politik yang penuh sandiwara dan kelihatan parti Islam itu semakin hilang modal.
"UMNO tahu membezakan antara kerjasama politik demi kestabilan negara ataupun memilih tunduk membuta tuli kepada rakan politik. UMNO tetap berpegang pada prinsip," katanya.
Razlan turut membidas dakwaan Abdul Hadi kononnya majoriti Melayu telah menolak UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning 26 April lalu, sedangkan jumlah meningkat dari 323 kepada 384 undi.
"Malah tiga PDM yang sebelum ini dimenangi Pas kini berjaya dirampas kembali UMNO. Apa maknanya ini, jika bukan tanda jelas bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot?
"Ini sekali gus membuktikan bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dicanang Abdul Hadi Hadi dan konco-konconya hanyalah retorik kosong yang gagal meresap ke dalam minda dan sanubari rakyat Ayer Kuning," katanya.
Tegas Razlan, sebagai orang lama dalam politik, Abdul Hadi seharusnya menunjukkan akhlak dan teladan lebih baik dan perlu membezakan antara serangan peribadi dan politik kebencian.
Ujarnya, sudah tiba masanya Pas sekali lagi bermuhasabah asbab pengundi Melayu kian menjauh dan retorik Islam yang dibawa semakin tidak dipercayai.
"UMNO tidak pernah mendakwa dirinya maksum. Tetapi kami terus berusaha dengan segala kemampuan untuk menzahirkan perjuangan Islam dan Melayu dalam bentuk dasar dan tindakan yang nyata.
"Kami percaya, rakyat khususnya orang Melayu dapat menilai yang mana kaca dan permata dan teringat saya kata-kata dalam dewan bahasa awak yang celaka, orang yang diumpat pula," katanya.