PRN Sabah: PH ditawar 33 kerusi jika kerjasama diputuskan

KOTA KINABALU - Tawaran 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pakatan Harapan (PH) untuk ditandingi gabungan itu adalah berdasarkan strategi agihan kerusi jika kerjasama Barisan Nasional (BN)-PH diputuskan.

Jelas Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, tawaran itu terbuka untuk rundingan dan sekiranya tiada persetujuan bersama, ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang sedia bekerjasama dengan BN sentiasa terbuka.

"Kenyataan, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkenaan UMNO Sabah bertanding 40 kerusi dan tawaran 33 kerusi kepada PH adalah berdasarkan strategi agihan kerusi jika kerjasama BN-PH dapat dimuktamadkan.

"Tawaran ini terbuka untuk rundingan dan sekiranya tiada persetujuan bersama, BN berhak untuk membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang bersedia untuk bekerjasama secara strategik demi kestabilan dan pembangunan negeri Sabah," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Katanya lagi, sebarang kerjasama baharu termasuk dalam bentuk 'BN-PH Plus' akan dibincangkan secara telus dan menyeluruh.

"Namun satu perkara yang tidak akan berubah adalah pendirian bahawa BN tidak akan bertanding dalam keadaan lemah atau sebagai parti minoriti.

"BN kekal dengan prinsip untuk menjadi parti dominan dalam mana-mana gabungan kerana kami percaya kepada rekod, kekuatan akar umbi, serta komitmen kami terhadap agenda rakyat," katanya.

Beliau dalam pada itu turut merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin, yang disifatkan sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili PH.

"Saya mengambil maklum terhadap pandangan tersebut, namun ingin menjelaskan beberapa perkara asas yang perlu difahami oleh semua pihak dalam konteks rundingan dan kerjasama politik menjelang PRN17 Sabah.

"Pertama sekali, kenyataan Razeef adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili keseluruhan pendirian Pakatan Harapan (PH). Rundingan yang dijalankan oleh BN adalah dengan pimpinan tertinggi PH secara kolektif, bukan dengan satu-satu parti komponen seperti PKR semata-mata.

"Oleh itu, mana-mana kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PKR harus dilihat dalam konteks pandangan parti itu sendiri, bukan sebagai keputusan bersama PH," katanya.

Sehubungan itu, Datu Rosman menegaskan supaya semua pihak menghormati proses rundingan yang sedang berjalan ketika ini.

"Kerjasama politik harus dibina atas dasar kepercayaan, kematangan dan hormat-menghormati antara semua pihak yang berkepentingan," katanya.

Sebelum itu, Suhaimi dalam kenyataannya mengesahkan BN Sabah akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN pada PRN17, manakala baki 33 kerusi lagi diberikan kepada PH.

Bagaimanapun, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR menafikan bahawa berlaku rundingan agihan kerusi tersebut antara PH dan BN.