SHAH ALAM - Peluang MCA dan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai langkah paling realistik sekiranya kedua-dua parti komponen itu mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sekiranya perkara itu berlaku, perbincangan dan perundingan perlu dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti politik terlibat, khususnya melibatkan kerjasama antara MCA, MIC dan Pas.
Menurut beliau, keputusan itu bukan sahaja penting bagi kelangsungan politik MCA dan MIC, malah mampu memberikan kelebihan strategik kepada PN.
“Itu contoh kalau mereka keluar daripada BN dan membentuk sama ada duduk secara berasingan macam parti serpihan, seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM)... namun saya tak nampak mereka boleh bertahan.
“Cara pengundi berfikir, mereka akan merujuk kepada blok yang gagah, jadi kebarangkalian paling tinggi dan munasabah ialah dengan menyertai PN.
“Jadi, dalam konteks ini juga, PN akan mendapat penggalak baharu, walaupun belum tentu tetapi paling kurang PN boleh menampilkan citra yang menjadi pengganti kepada wajah BN dan secara tidak langsung akan memberikan saingan kepada Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi mendapatkan undi bukan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu Hisommudin berpendapat, isu pertikaian antara parti komponen BN perlu diuruskan secara tertib dan dalaman.
“Respon daripada UMNO bagi saya, keras. Sepatutnya perkara itu perlu diselesaikan dalam pertemuan dalaman BN kerana mereka parti lama, parti kerajaan. Dalam keadaan begini, itu perlu pengalaman, dimanfaatkan untuk mencapai kata sepakat yang baik.
“Kalau tidak kita akan melihat sejarah berlakunya jajaran baharu. Kalau tak ada ruang dan kepentingan kedudukan dalam perjuangan politik, jadi kewujudan mereka (MCA dan MIC) macam mana? Bagi saya kelangsungan MCA dan MIC itu kena letak sebagai keutamaan.
“Jadi kalau BN tidak mampu lagi membawa ruang, mengangkat kepentingan untuk bertanding dalam pilihan raya atau menghantar perwakilan bagi parti mereka... saya tidak menolak MCA dan MIC akan meneroka dan mungkin tidak lagi bersama,” ujarnya.
Tambah beliau, perpecahan dalam gabungan itu boleh dielakkan sekiranya BN mengambil inisiatif menyusun semula strategi dengan menampilkan kepimpinan baharu.
“Mereka perlu susun strategi baharu, perlu rebranding. MCA dan MIC masih muka lama. Strategi itu tidak sama dengan perubahan sekarang. Seperti DAP mereka sangat dinamik kerana segar dengan barisan pemimpin baharu selepas tokoh lama memberi laluan kepada generasi muda.
“Jadi, perlu diberikan semangat baharu oleh kepimpinan sedia ada untuk mendepani memenangi hati rakyat dalam PRU,” ujar beliau.
Sebelum ini, media melaporkan, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa, timbul rasa tidak puas hati dalam parti dengan akar umbi mempersoalkan masa depannya dalam BN kerana ‘terperangkap’ dengan politik UMNO sejak sekian lama.
Lian Ker mendakwa, ahli akar umbi percaya UMNO telah meninggalkan prinsip BN untuk terus berkuasa melalui kerjasama DAP.
Susulan itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menggesa parti itu untuk menentukan masa depannya sendiri jika BN terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju mereka.
Sin Woon berkata, MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.