Manivanan Gowin menang pemilihan semula Ketua Cabang PKR Jempol

SEREMBAN – Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin memenangi pemilihan semula bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dalam pertandingan empat penjuru yang berlangsung pada Khamis.

Beliau meraih sebanyak 571 undi, mengalahkan Muhammad Asri Abdullah (299 undi), K Mariappan (39 undi), manakala seorang lagi calon telah hilang kelayakan bertanding.

Seramai 1,028 ahli layak mengundi dalam pemilihan tersebut, dengan 842 kertas undi dikeluarkan.

Menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook, Manivanan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli cabang.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan bahawa Cabang Jempol antara tiga cabang yang perlu mengadakan pemilihan semula, selain Selayang dan Silam.

Menurut Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, keputusan pemilihan sebelum ini dibatalkan selepas pemenangnya, Azizah Salim Shah, didapati masih merupakan ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika bertanding pada 13 April lalu.

Katanya, Azizah hanya keluar daripada Pejuang selepas diumumkan menang, sekali gus menyebabkan keputusan terbabit tidak sah.

Pada pemilihan terdahulu, Azizah memperoleh 450 undi, mengatasi Manivanan (248 undi), Muhammad Asri (83 undi), dan K Mariappan (52 undi).