PRN Sabah: Zulkarnain dakwa sikap kasar Bung Moktar punca rakyat tolak UMNO

KOTA KINABALU – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa sikap kasar Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjadi salah satu punca utama rakyat semakin menolak UMNO di negeri itu.

Menurut Zulkarnain, cadangan meletakkan Bung Moktar sebagai ‘poster boy’ UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) hanya akan mempercepatkan kejatuhan parti tersebut di Sabah.

"Sebagai rakyat Sabah, saya tidak berani menyerahkan masa depan negeri ini kepada pemimpin seperti Bung Moktar. Usaha menjadikannya wajah utama kempen hanya akan mempercepatkan proses ‘menguburkan’ UMNO di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut merujuk kepada kegagalan cubaan menjatuhkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, melalui pakatan UMNO-Warisan pada tahun 2023 sebagai bukti kelemahan kepimpinan sedia ada UMNO Sabah.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir bahawa UMNO-BN mampu memerintah semula negeri itu dan akan bertanding di 40 kerusi DUN, Zulkarnain menyifatkannya sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

"Tiada kepastian sama ada keputusan untuk bertanding 40 kerusi itu dibincang dalam Majlis Tertinggi UMNO. Saya nasihatkan Suhaimi supaya lebih kerap turun padang untuk mendengar denyut nadi rakyat," katanya.

Zulkarnain turut mengingatkan Suhaimi bahawa beliau sendiri pernah tewas di kerusi DUN Gum-Gum pada PRN16 lalu, di mana UMNO-BN hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi.