Kongres PKR diselaraskan semula, ambil kira kekangan logistik

SHAH ALAM - Tarikh pelaksanaan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita bagi tahun 2024/2025 diselaraskan semula pada 22 dan 23 Mei ini.

Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata, penyelarasan itu adalah hasil permohonan rasmi dikemukakan oleh AMK dan Wanita Keadilan bertarikh 7 Mei, yang mengambil kira kebimbangan terhadap kekangan logistik dan komitmen kerja perwakilan sekiranya kongres diadakan pada 21 dan 22 Mei seperti kenyataan sebelum ini.

“Majlis Perasmian Bersama akan diadakan seperti yang dijadual pada Khamis, 22 Mei, jam 8 malam bertempat di JB Expo, Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.

“Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita Keadilan akan diteruskan pada Jumaat, 23 Mei dari jam 7 pagi hingga 6 petang, di lokasi yang telah ditetapkan.

“Pemilihan Parti 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) dan Majlis Wanita Keadilan (MPWK) akan dilangsungkan pada hari sama, di lokasi Berjaya Waterfrint Hotel (MPAMK) dan Danga Bay Convention Centre (MPWK), Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, penyelarasan tersebut diambil demi memastikan kelancaran pelaksanaan kongres dan memberi ruang yang lebih selesa kepada semua perwakilan untuk menyertai proses demokrasi parti secara aktif serta efektif.

Kongres kali ini dijangka menjadi pentas penting buat kepimpinan parti menyampaikan amanat dan hala tuju terkini menjelang separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.