JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor menyatakan sokongan padu terhadap pencalonanNurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh 16 Ketua AMK Cabang di Johor, mereka menyifatkan Nurul Izzah sebagai tokoh reformasi yang memiliki idealisme, integriti serta kemampuan dasar untuk memperkasa dan menyatukan jentera parti di pelbagai peringkat.
“Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam perjuangan reformasi, kepimpinan beliau diyakini mampu menjana keyakinan anak muda, pengundi atas pagar dan seluruh rakyat terhadap PKR dan Pakatan Harapan.
"AMK Johor juga melihat kehadiran Nurul Izzah dalam saf utama kepimpinan parti bukan sekadar simbol penyatuan, malah menjadi pemangkin kepada pembaharuan strategi politik, komunikasi serta pengukuhan akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kami yakin dengan kekuatan nilai dan prinsip yang dibawa, beliau mampu menjadi antara faktor penentu kejayaan Keadilan dan Pakatan Harapan dalam membentuk semula mandat rakyat selepas PRU16,” tulis mereka dalam kenyataan.p
Antara pemimpin yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Ketua AMK Pulai, Muhammad Faezuddin Mohd Puad; Ketua AMK Pasir Gudang, K Suria Vengadesh ; Ketua AMK Pagoh, S Sharwin ; Ketua AMK Johor Bahru, Ahmad Ihsan Mohd Arif; Ketua AMK Tebrau, Jalex Lee serta Ketua AMK Simpang Renggam, K Navinraj.
Pada Rabu, Nurul Izzah melaporkan sebarang keputusan yang akan diambil berhubung pencalonan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan parti secara bersama ketika suka dan duka.
Menurut Naib Presiden PKR itu, beliau akan memberikan keputusan terbaik dengan mengimbangi antara kesepakatan, jalinan persahabatan serta perubahan dan reformasi yang bermakna buat semua anggota.
Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
Penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatannya atas alasan mahu mengelakkan perpecahan dalam parti berkenaan.
Menteri Ekonomi itu dikatakan bakal dicabar oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Namun, setakat ini Saifuddin masih mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.