Gabung parti mahu jawatan, rakyat mahu kemudahan - Shafie

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menegaskan bahawa gabungan bersama rakyat merupakan satu-satunya keutamaan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan sudah melalui pelbagai pengalaman bergabung dengan parti lain, namun mendapati setiap parti mempunyai agenda sendiri berbanding memenuhi keperluan rakyat.

"Setakat ini saya mengumumkan kita tidak ada gabungan dengan mana-mana parti. Kita pernah bergabung dengan banyak sudah menerusi pengalaman saya sendiri, bergabung dalam Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan UMNO kemudian dengan Pakatan Harapan (PH).

"Tapi kita putuskan tadi secara terperinci, beri keutamaan kepada gabungan kita dengan rakyat Sabah, apa rakyat mahukan, apa yang diperlukan untuk pastikan masa depan rakyat kita, bukan masa depan parti-parti itu menjadi keutamaan.

"Kalau kita bincang fikirkan tentang gabungan, (ada) parti mahu kerusi, parti itu mahukan jawatan menteri, parti itu mahu projek. Tetapi kalau kita bergabung dengan rakyat, mereka akan menyatakan mahu pelbagai kemudahan asas seperti air, jalan raya, sekolah, hospital dan pekerjaan. Ini yang penting bagi kita untuk pastikan gabungan dengan rakyat menjadi keutamaan Warisan pada PRN kali ini," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Warisan kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai sebarang gabungan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, terlalu banyak parti dalam gabungan boleh menyebabkan kerajaan yang dibentuk menjadi tidak stabil.

"Hari ini kata lain, esok bila tak dapat projek atau jawatan menteri, mereka melompat. Saya sudah lalui semua itu dalam Barisan Nasional (BN) dan PH Plus.

"Saya tak dengar dari orang lain atau YouTube. Saya lihat dan alami sendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut mengajarnya untuk mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding parti politik.

"Saya tak fikirkan sangat soal parti-parti ini sekarang. Saya fikirkan rakyat, ramai yang nak berkomunikasi dengan kami, tak mengapa, biarkan mereka. Tetapi apa pun, tumpuan saya tetap bersama rakyat Sabah," tegasnya.

Pada awal Mac lalu, Mohd Shafie mengesahkan partinya itu akan bertanding secara solo dalam PRN Sabah tanpa sebarang gabungan dengan mana-mana parti.

Ditanya mengenai jumlah calon bagi kerusi yang akan ditandingi Warisan, Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang itu memaklumkan bahawa senarai calon telah dikemukakan di peringkat bahagian.

"Yang pertama, kita kena pastikan kemenangan, keduanya jangan melompat, itu yang menjadi masalah. Kita kena lihat pelbagai perkara untuk pastikan calon-calon ini mampu mewakili rakyat di kawasan-kawasan.

"Banyak pertimbangan yang penting perlu kita lakukan ini demi untuk selamatkan Sabah dan rakyat," katanya.