SHAH ALAM – Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya dipertikai hanya kerana hubungan kekeluargaan dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan berkata, isunya bukan berkenaan kaum kerabat, tetapi keupayaan dalam memelihara integriti dan mempertahankan keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Menurutnya, proses pemilihan itu wajib berjalan dengan jujur, teratur, adil, tanpa unsur berat sebelah dan kecenderungan emosi, sama seperti calon lain.
Jelasnya, jika Nurul Izzah menjadi pilihan perwakilan PKR, semua ahli dan pihak lain perlu menghormati keputusan tersebut.
“Kita juga amat memahami situasi yang bakal menghimpit dan menyebabkan Anwar dalam keadaan serba salah, namun kita yakin dengan pengalaman beliau, keutamaan kepentingan negara tidak akan terabai.
“Sudah tentu persepsi, fitnah dan sebagainya akan melingkari setiap tindakan beliau, tetapi Anwar perlu menerima keputusan anggota jika Nurul Izzah menjadi pilihan sebagai Timbalan Presiden PKR.
“Walaupun keadaan akan menjadi rumit, namun ia juga dilihat boleh memantapkan lagi kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, sejarah Islam menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah menjadikan faktor kekeluargaan sebagai syarat dalam memilih pemimpin ummah.
“Tiada sebarang tanda jelas atau kecenderungan yang memaksa pemilihan pucuk kepimpinan ummah mestilah daripada kalangan keluarga Baginda.
“Keadilan perlu ditegakkan pada setiap ketika, walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri, bagi memelihara thiqah atau keyakinan kepada kepimpinan dan sistem pentadbiran negara.
“Jadi, jelas tiada sebarang permasalahan jika Nurul Izzah dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amidi turut berharap agar semua anggota PKR diberi petunjuk dalam membuat keputusan terbaik demi kepentingan ummah dan negara.
Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
Sejak Selasa, sekurang-kurangnya lebih daripada 30 pemimpin cabang dan sayap dari Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan, Kelantan serta Johor menzahirkan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah bagi merebut jawatan nombor dua dalam PKR.