KUANTAN - Pemuda Pas Pahang dan Terengganu memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negeri bagi membantu merealisasikan misi 'Pas Teraju Pahang'.
Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, satu pertemuan strategik telah diadakan antara kedua pihak bagi menyelaraskan gerak kerja, memperkukuhkan jaringan organisasi, memperkasa agenda dakwah dan kebajikan di peringkat serantau.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berkongsi pengalaman, merangka pelan tindakan bersama, dan menetapkan beberapa inisiatif strategik yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
"Antara fokus utama termasuk penganjuran program bersama, latihan kepimpinan dan kempen kesedaran masyarakat.
"Kerjasama ini dilihat sangat signifikan dalam menyokong misi 'Pas Teraju Pahang'," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Mohd Zarimi berkata, usaha besar itu bagi memposisikan Pas sebagai peneraju utama dalam mentadbir Pahang dengan pendekatan Islam yang adil dan sejahtera.
Jelasnya, Pemuda Pas Pahang mengambil peranan aktif dalam usaha ini dengan menjalinkan kerjasama bersama Terengganu yang lebih berpengalaman mentadbir negeri.
"Kerjasama ini juga satu langkah proaktif dalam memperkukuh ukhuwah dan sinergi antara pemuda di kedua-dua negeri," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya penyatuan tenaga dan idea dalam menghadapi cabaran semasa serta memperjuangkan agenda Islam di peringkat negeri dan nasional.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa menyambut baik inisiatif itu dan menegaskan komitmen pihaknya untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan di Pahang.
Beliau berkata,melalui kerjasama erat itu, banyak manfaat dapat disalurkan kepada masyarakat khususnya golongan muda.
"Insya-ALLAH, dalam masa terdekat, satu agenda besar akan digerakkan melalui pelancaran 'Gelombang Anak Muda' iaitu satu inisiatif untuk menggerakkan kesedaran, sokongan dan penglibatan aktif golongan itu dalam membawa perubahan dan memperkukuh pengaruh Pas dalam masyarakat," ujarnya.
.