MCA gesa Puad Zarkashi muhasabah, junjung semangat BN

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diminta bermuhasabah dan kembali menjunjung semangat Barisan Nasional (BN), bukannya bergantung kepada pihak lain semata-mata demi kelangsungan peribadi.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, tindakan dan kenyataan Mohd Puad dilihat berpotensi merobohkan parti BN yang telah wujud sejak sebelum kemerdekaan negara.

Menurutnya, kenyataan Mohd Puad cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH), bukannya usaha untuk memulihkan BN.

“Inilah sebabnya Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menegaskan bahawa BN tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Kenyataannya mencerminkan suara majoriti akar umbi BN.

“Puad tidak seharusnya mengabaikan suara akar umbi. Tindakan ini hanya akan melemahkan BN dan menyebabkan semakin ramai ahli merasa terasing daripada parti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.

Sebelum ini, Mohd Puad mengingatkan MCA supaya tidak menyalahkan BN atas kemerosotan prestasi parti itu. Menurutnya, MCA wajar meneliti punca kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap parti tersebut.

Tambah Yew Chuan, Mohd Puad seharusnya menumpukan usaha menghidupkan semula BN.

“Apa yang perlu beliau hadapi ialah keraguan ahli BN, termasuk dalam UMNO, sama ada perlu terus bergantung kepada pihak lain atau memutuskan hala tuju BN dengan tegas supaya kembali menjadi kuasa politik yang memacu negara.

“Puad sendiri menyatakan BN mesti kekal dengan nilai kesederhanaan yang diamalkan sejak sekian lama. Persoalannya, adakah rakan-rakan baharu beliau, terutama DAP, menjunjung nilai kesederhanaan atau masih terperangkap dengan ekstremisme politik?” soalnya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, Mohd Puad telah tersalah fokus kerana kenyataan Chong Sin Woon tidak bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan seruan agar MCA dan BN melakukan refleksi diri bersama.

Jelasnya, kenyataan tersebut menyuarakan aspirasi akar umbi MCA.

“Sebagai setiausaha agung parti, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menyampaikan suara akar umbi kepada parti-parti komponen dalam BN.

“Lebih penting lagi, ini menunjukkan keprihatinan MCA terhadap kepentingan BN secara keseluruhan, terutama dalam landskap politik semasa dan usaha memulihkan kekuatan BN agar kembali menjadi arus perdana politik. Maka, isu ini dibangkitkan untuk difikirkan bersama,” katanya.

Tambahnya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah berkali-kali menegaskan bahawa keutamaan MCA ialah memperkukuh parti dan memulihkan kekuatan BN.

“MCA sentiasa setia dengan peranannya sebagai parti komponen BN dan komited untuk mengembalikan sokongan rakyat bersama rakan-rakan dalam BN.

“Kami percaya bahawa model perkongsian kuasa pelbagai kaum serta politik sederhana yang diamalkan BN merupakan pendekatan paling realistik dan berkesan dalam mentadbir masyarakat majmuk.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjamin keharmonian kaum dan ketenteraman sosial, malah menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Malah, mana-mana gabungan politik yang memerintah tetap akan mengguna pakai model BN ini,” katanya.

Tegasnya, MCA terus menekankan bahawa BN mesti mempunyai hala tuju yang jelas kerana ia merupakan pilihan ideal untuk rakyat Malaysia.

“Semua parti komponen BN termasuk UMNO, MCA dan MIC perlu menanam keyakinan dan berusaha bersungguh-sungguh memulihkan parti. Bukan bergantung kepada pihak lain yang hanya akan melemahkan kekuatan dan prinsip BN,” katanya.