Setiausaha Politik PMX, ADUN Rawang menang pemilihan semula Ketua Cabang PKR

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin dan Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Chua Wei Kiat, menang dalam pemilihan semula jawatan Ketua Cabang Jempol dan Selayang.

Gowin diumumkan pemenang jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dalam pemilihan semula selepas memperoleh 571 undi dan menghadapi saingan sengit empat penjuru dengan menewaskan tiga calon lain termasuk Muhammad Asri Abdullah (299 undi), K Mariappan (39 undi), manakala seorang lagi calon telah hilang kelayakan bertanding.

Pemilihan bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol itu diadakan semula selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah dibatalkan.

Keputusan itu dibuat berikutan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mendapati Azizah masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ketika memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol sebelum ini, sekaligus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.

Pada pemilihan peringkat Ketua Cabang PKR Jempol pada 13 April lalu, Azizah menang selepas meraih 450 undi, menewaskan pencabarnya, G Manivanan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, selepas meraih 248 undi, selain Muhammad Asri Abdullah (83) dan K Mariappan (52).

Sementara itu, Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang diumumkan selaku pemenang kerusi Ketua Cabang Selayang selepas memperoleh 1,945 undi, menewaskan Wan Ibnul Bahar Wan Ismail (1,693 undi), manakala seorang lagi calon hilang kelayakan bertanding.

Sebelum ini, media melaporkan Wei Kiat, gagal dalam percubaan untuk memimpin Cabang Selayang apabila tewas dalam pertembungan tiga penjuru.

Wei Kiat yang mendapat 1,648 undi terpaksa berpuas hati selepas ketinggalan di belakang pencabarnya Kamarudin Mohd Hussain, yang memperoleh 2,041 undi, manakala Wan Ibnul Bahar hanya memperoleh 28 undi.

Pemilihan semula dilaksanakan pada Khamis turut menyaksikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi, gagal mempertahankan jawatan selaku Ketua Cabang PKR Pasir Salak yang disandangnya, sebelum ini.

Mohamad Maharani, tewas selepas memperoleh 677 undi di belakang Hisamuddin Ali yang mendapat 944 undi, manakala seorang lagi calon hilang kelayakan bertanding.

Sebelum ini, media melaporkan pemilihan jawatan Ketua Cabang Pasir Salak dimenangi oleh Mohamad Yusuf Majid yang memperoleh 971 undi, diikuti Mohamad Maharani (482 undi) dan Hisammudin (375 undi).

Sementara itu, Romansa Lamin pula menang pemilihan semula jawatan Ketua Cabang PKR Silam selepas memperoleh 566 undi, mengalahkan pencabarnya Rubiah Onga (483 undi) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (empat undi).

Pemilihan Ketua Cabangan PKR Silam diadakan semula kerana masalah teknikal selepas Mohd Syafiq Iqhmal mendakwa nama dikeluarkan secara tidak sah daripada senarai undi, walaupun tidak pernah menarik diri daripada bertanding.

Sementara itu, pemilihan semula PKR Cabang Besut, Terengganu pula hanya membabitkan jawatan Ketua Wanita yang dimenangi oleh Wan Azizah Wan Abas (308 undi), manakal cabang PKR Semporna, pemilihan semula hanya melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa.