KUALA LUMPUR - UMNO Sabah menamakan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai poster boy parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ketetapan tersebut dibuat mengambil kira tradisi bersandarkan kedudukan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagai pemimpin nombor satu parti di peringkat negeri.
“Untuk BN di Sabah ini memang secara tradisinya Pengerusi BN dan Ketua UMNO dipilih poster boy.
“Jadi, setakat ini poster boy Datuk Bunglah... Kalau bergabung dengan parti lain kita perlu dapatkan khidmat nasihat Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.
Sementara itu, ditanya sejauh mana perbincangan untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN negeri tersebut, Suhaimi berkata, proses perbincangan berjalan dengan baik.
Katanya, ia termasuk perbincangan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi sekiranya kerjasama itu terlaksana nanti.
“Kita telah bersetuju untuk BN bertanding 40 kerusi, manakala selebihnya iaitu 33 kerusi lagi PH.
“Formula yang kita gunakan ialah kerusi penyandang kekal kepada parti penyandang dan lihat kepada sokongan cenderung kepada parti mana,” katanya.