Pemuda MCA Pahang nafi dakwaan merajuk, tempelak kenyataan Mohd Puad

KUANTAN - Pemuda MCA Pahang menafikan pandangan bahawa parti itu sedang merajuk berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Wong Siew Mun berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang melabel pandangan MCA sebagai 'merajuk', dilihat hanya melemahkan semangat musyawarah dalam BN.

Menurutnya, partinya tidak akan merajuk, namun juga tidak akan berdiam diri.

“Berani demi masa depan. Bangkit demi Malaysia. Setiap kali MCA bersuara, Mohd Puad akan datang menyerang, seolah-olah menjadi jurucakap DAP.

“Pandangan yang disuarakan oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, sebelum ini tidak pernah mengkritik UMNO, sebaliknya menyampaikan keresahan akar umbi terhadap hala tuju gabungan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Beliau menambah, sekiranya pandangan seumpama itu pun tidak boleh diterima, timbul persoalan siapa lagi dalam BN yang dibenarkan bersuara.

“Kami tidak mahu BN menjadi gabungan yang bisu. Kami mahu BN kembali kepada prinsip asal - musyawarah, hormat-menghormati dan keputusan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, Siew Mun menjelaskan isu sebenar bukanlah soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya hala tuju BN yang didakwa semakin kabur.

Katanya, terdapat dasar yang tidak konsisten dan keputusan dibuat tanpa rundingan dengan parti komponen.

Beliau juga mengingatkan agar pimpinan BN tidak terlalu selesa dengan keputusan dalam pilihan raya kecil (PRK), kerana sejarah membuktikan bahawa kemenangan PRK tidak menjamin kejayaan dalam pilihan raya umum (PRU).

“BN pernah menang di Sungai Besar, tetapi tetap tumbang pada PRU14,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan sama ada ahli UMNO dan rakyat benar-benar selesa dengan kerjasama sedia ada, atau hanya segelintir pemimpin yang berada dalam zon selesa.

“Kami bersuara bukan untuk mengancam, tetapi untuk menyelamatkan. BN mesti bangkit semula dengan prinsip, bukan hanya nostalgia,” tegasnya.

Menyentuh Titah Adendum Sultan Pahang berhubung kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Siew Mun menggesa agar tindakan susulan segera diambil.

“Istana sudah sahkan wujudnya titah tersebut. Jika benar BN mahu kekal setia kepada Raja-Raja Melayu, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar ucapan,” katanya.