Kerjasama membuta tuli dengan PH, jejas masa depan BN - MCA Johor

JOHOR BAHRU – Pemuda MCA Johor, menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama berterusan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), yang disifatkannya sebagai “melumpuhkan BN dari dalam”.

Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros yang mempersoalkan kebimbangan MCA adalah tidak wajar.

"Kenyataan tersebut memberi gambaran seolah-olah BN berada dalam kedudukan yang lebih rendah dalam gabungan kerajaan semasa.

“PH bukan menyelamatkan BN sebaliknya sedang melumpuhkannya dari dalam. Kerjasama membuta tuli hanya akan membawa parti-parti BN kepada ketidakrelevanan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa bukan sahaja MCA sedang kehilangan pengaruh politik, malah kedudukan UMNO sendiri semakin terhakis dalam landskap politik semasa.

“Jika trend ini berterusan, parti-parti komponen BN hanya akan menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zhi Li turut membangkitkan perbezaan ideologi antara BN dan PH, termasuk kegagalan PH menunaikan janji manifesto, tindakan memfitnah pemimpin BN, serta dasar ekonomi seperti penghapusan GST yang disifatkan melemahkan kedudukan fiskal negara.

“MCA tetap konsisten dalam komitmennya untuk membina semula BN sebagai gabungan berbilang kaum yang pragmatik dan berteraskan keharmonian kaum serta perancangan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Zhi Li menggesa pucuk pimpinan BN untuk segera menilai semula hala tuju gabungan itu secara jujur dan menyeluruh demi masa depan BN dan Malaysia.

Sebelum itu, Pemuda UMNO Johor menyifatkan gesaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon agar parti itu mencari haluan sendiri sekiranya BN gagal menjelaskan hala tuju gabungan sebagai tidak berhemah selain tidak membantu mengukuhkan gabungan itu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan tersebut menunjukkan Sin Woon gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN bersama PH menerusi Kerajaan Perpaduan.