JOHOR BAHRU- Parti Amanah Negara (Amanah) Johor meminta semua pihak menghentikan penyebaran persepsi dan maklumat tidak sahih berhubung keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, maklumat dan sumber diperoleh mengenai keadaan kesihatan Naib Pengerusi Amanah Johor itu telah mengundang panik dan mencetuskan pelbagai tanggapan serta teori yang mengelirukan.
Beliau menegaskan Suhaizan kini dalam keadaan stabil dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh pihak parti sendiri.
"Amanah Johor juga berharap agar segala persepsi ini dapatlah dihentikan dan tidak ada pihak yang mendahului maklumat dengan menyebarkan kenyataan yang tidak sah serta menambah tegang terhadap situasi serta kesihatan Suhaizan.
"Kami turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Suhaizan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, pada malam Selasa.
Beliau dimasukkan ke ICU kira-kira jam 11 malam kerana paras oksigen dalam badan yang rendah dan mengalami demam panas.
Suhaizan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September 2023 yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.