Gesaan MCA tidak bantu kukuhkan BN - Pemuda UMNO Johor

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyifatkan gesaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon agar parti itu mencari haluan sendiri sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal menjelaskan hala tuju gabungan sebagai tidak berhemah selain tidak membantu mengukuhkan gabungan itu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan tersebut menunjukkan Chong gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Adakah beliau fikir UMNO suka menjadi pemain kedua kepada PH? Sudah tentu tidak tetapi ini realiti politik semasa dan kita sedang melalui fasa pemulihan.

"MCA wajar memahami kedudukan UMNO yang turut berdepan cabaran tersendiri termasuk usaha menyatukan semula sokongan orang Melayu selepas hampir dua setengah tahun membentuk kerajaan bersama PH," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Isnin, sebuah portal melaporkan, Chong ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025 berkata MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15 tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.

Chong mencadangkan mesyuarat bahagian MCA di seluruh negara pada bulan Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai masa depan parti, mengumpul pendapat akar umbi yang akan dipersembahkan kepada kepimpinan pusat.

Dalam pada itu, Azleen juga tidak menafikan rasa kecewa dalam kalangan MCA apabila tiada wakil rakyatnya yang memegang jawatan kerajaan di peringkat pusat dan negeri, kecuali di Johor yang mempunyai dua Exco Kerajaan Negeri dari parti itu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perkara tersebut tidak wajar dijadikan alasan untuk menggugat kerjasama dalam BN.

“Hakikat sebenar MCA perlu memainkan peranan dalam usaha menarik kembali sokongan masyarakat Cina kepada parti itu dan tidak sekadar bergantung kepada kekuatan rakan komponen lain.

"BN ini dibina atas semangat pelbagai kaum, dan semua parti komponen perlu terus mempercayai model tersebut serta memperkukuh kerjasama demi kestabilan politik negara," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, MCA telah memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Paloh, Bekok dan Pekan Nanas.

ADUN Yong Peng yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon dipilih sebagai Exco Kesihatan dan Alam Sekitar manakala ADUN Paloh, Lee Ting Han memegang Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.

Sementara pada Pilihan Raya Umum (PRU15), Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk penggal kelima dan Datuk Seri Wee Jeck Seng pula memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.