Dituduh 'pembelot bangsa', Syahredzan, Rara sedia saman ADUN PN

KUANTAN - Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman akan memulakan tindakan undang-undang ekoran status yang telah dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin di laman Facebook miliknya pada Selasa.

Kedua-duanya yang juga Ahli Parlimen Bangi dan Bentong itu kecewa dengan tindakan ADUN terbabit.

"Semalam, ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah memuat naik status yang mengandungi kata-kata yang memfitnah kami di laman Facebook beliau.

"ADUN tersebut tersebut antara lain, mengatakan bahawa kami sanggup 'pembelot bangsa' serta kata-kata lain yang memfitnah kami.

"Kami memandang serius perkara ini, kerana sebelum ini kami sentiasa difitnah oleh pengikut PN di alam maya. Kami tidak sangka perangai ini dicerminkan juga oleh pemimpin mereka seperti ADUN ini," dalam hantaran Facebook miliknya pada Rabu.

Ujarnya, kedua-dua pemimpin itu kecewa kerana seorang wakil rakyat beragama Islam seperti ADUN Pahang ini sanggup memfitnah mereka sejurus berakhirnya bulan Syawal.

"Kami akan mendapatkan nasihat peguam dan memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.

"Kami juga ingin menasihati semua wakil rakyat dan pemimpin PN untuk berhati-hati dalam tutur kata mereka.

"Jangan lupa bahawa sebelum ini, pemimpin-pemimpin PN telah diarahkan membayar pampasan disebabkan mahkamah mendapati mereka telah memfitnah," jelasnya.