Amanah teruskan agenda perpaduan nasional, legasi Fadzil Noor yang semakin dilupakan Pas - Faiz

SHAH ALAM - Agenda perpaduan nasional yang pernah dibawa bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor kini menjadi asas perjuangan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggambarkan pendekatan politik lebih kepada maslahah negara dan tidak berasaskan perkauman semata-mata.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan yang dibawa oleh ayahnya itu telah meletakkan kepentingan negara dan menolak penggunaan sentimen perkauman sebagai alat politik.

Ujar beliau, bagaimanapun legasi perjuangan Allahyarham Fadzil yang berasaskan perpaduan nasional itu tidak lagi diperjuangkan Pas.

“Kompas politik Pas kini berubah dan beralih kepada permainan politik perkauman dengan menjadikan pemahaman agama yang sempit sebagai alat bagi mengapi-apikan kebencian kaum.

“Bagi mencapai matlamat ini, PAS berjuang atas fitnah dan adu domba dan bukan lagi hujah ilmu dan fakta,” dakwanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, ketika kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Pas memainkan isu ladang babi bagi menunjukkan ancaman kaum Cina kepada orang Melayu sedangkan fakta menunjukkan tiada pencemaran sisa ladang babi berlaku.

Tambah beliau, parti berkenaan turut dimainkan isu penangguhan haji kerana pilihan raya yang mana fatwa politik itu bukan berasaskan ilmu Islam sebenar.

Dakwanya, hujah dan kempen menunggang perpaduan Melayu itu akan berkumandang apabila sesuatu parti mula menjadi lemah.

“Itu taktik sama digunakan semula Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) yang hanya berkempen dan berhujah atas permainan politik Melayu.

“Hakikatnya, bagi mengangkat martabat Melayu, kekuatan ekonomi negara sangat penting dan pemulihan ekonomi kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menunjukkan kesan positif.

“Atas keyakinan ini, orang Melayu mula menyokong Kerajaan Perpaduan dan PN sudah mula ditolak orang Melayu dan rakyat Malaysia,” menurutnya.