Apa maksud tersirat PRK Ayer Kuning

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada Sabtu yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih 5,000 undi memberikan pelbagai tafsiran untuk diteliti parti politik yang bertanding.

Walaupun ada pihak mempertikaikan kemenangan BN kerana undi asas UMNO merosot, dalam sistem demokrasi berasaskan 'first-past-the-post', calon yang memperoleh sokongan teramai dikira pemenang walaupun dengan perbezaan hanya satu undi.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, semua pihak termasuk pembangkang tidak wajar mempertikaikan kemenangan Mohamad Yusri yang meraih 11,065 undi berbanding dua lawannya, Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN) memperoleh 6,059 undi dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebanyak 1,106 undi.

Perdebatan penurunan undi BN perlu dilihat dalam konteks bahawa BN tetap memperoleh jumlah undi mencukupi untuk menang, sekalipun peratusan keluar mengundi rendah memberi kesan kepada jumlah undi sebenar diperoleh setiap calon.

"Peratusan keluar mengundi rendah bukan hanya kerana boikot, malah dipengaruhi faktor lain termasuklah musim perayaan, pengundi luar kawasan yang tidak pulang mengundi dan kelesuan politik,"katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, penurunan jumlah undi PN tidak semestinya menandakan berakhirnya gelombang hijau yang sinonim dengan sokongan pengundi Melayu-Islam.

Ini katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah tidak menggambarkan penurunan menyeluruh.

"Peratusan yang keluar mengundi sebelum ini dari 74 peratus ke 58 peratus, mungkin antara faktor yang mempengaruhi jumlah undi diperoleh PN.

"Saya tidak anggap gelombang hijau telah merosot, tetapi ini adalah satu isyarat kepada PN untuk teliti faktor-faktor tertentu, termasuk kemungkinan pengundi mereka tidak turun atau tidak pulang ke kawasan," katanya.

Sivamurugan berkata, prestasi Pas di Ayer Kuning menunjukkan penurunan tidak ketara dengan calon PN kali ini memperoleh kira-kira 6,059 undi, berbanding 6,812 undi sebelum ini.

"Bagi saya jumlah berkenaan tidak jauhlah, cuma kalau sudah berkurangan perlulah diteliti kenapa dan juga sesuatu perlu dilakukan. Jadi, perlu teliti perkara seperti itu dan juga melihat mengapa ia berkurangan,"katanya.

Hati-hati bawa isu

Mengulas mengenai sama ada pengundi Melayu mula beralih arah, beliau menyatakan bahawa sokongan politik Melayu bersifat dinamik dan boleh berubah berdasarkan tiga faktor utama iaitu calon, politik kepartian dan isu-isu semasa.

"BN ada kelebihan antaranya kerana faktor calon, selain Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memainkan peranan cukup besar serta penyelesaian segera terhadap isu-isu setempat," jela.

Mengenai strategi PN selepas keputusan PRK ini, Sivamurugan menekankan keperluan untuk PN berhati-hati dalam membawa isu, memandangkan kerusi Ayer Kuning adalah kawasan pengundi bercampur iaitu membabitkan 56 peratus Melayu, 22 Cina, 14 India dan lapan Orang Asli.

"Contohnya, isu babi yang dibangkitkan mungkin untuk meraih sokongan Melayu, tetapi waktu yang sama terdapat kira-kira 44 peratus pengundi bukan Melayu. Jadi, PN perlu berhati-hati apabila membawa satu isu supaya tidak hanya menumpukan kepada sokongan orang Melayu semata-mata,"katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr G. Manimaran berkata kemenangan BN dipengaruhi oleh perpindahan sokongan pengundi PH terutama kaum Cina dan penyokong DAP, kepada Mohamad Yusri susulan kerjasama mereka dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan Perak.

Manimaran turut meramalkan calon BN mungkin memperoleh undi melebihi 18,000 dan menang dengan majoriti lebih besar sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 75 peratus.

"Bagaimanapun, sasaran BN memperoleh 18,000 undi gagal kerana ramai dalam kalangan penyokong Kerajaan Madani mengambil mudah dan beranggapan Mohamad Yusri tetap boleh menang biarpun mereka tidak keluar mengundi, manakala pengundi luar kawasan pula tidak pulang.

"Saya juga melihat ramai pengundi tidak keluar mengundi kerana berkecil hati dengan kegagalan Kerajaan Madani mengawal kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang semakin meningkat," katanya.

Beliau turut melihat peningkatan undi diperoleh calon PSM, Bawani, daripada 586 undi kepada 1,106 undi, disebabkan undi protes daripada pengundi kaum India terhadap kepimpinan kerajaan di Putrajaya dan Perak.