KUALA SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) tetap meraih kemenangan moral apabila berjaya menafikan hasrat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memperoleh 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Ahad.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun PN tidak memenangi kerusi itu, mereka tetap berpuas hati dengan pencapaian yang menunjukkan sokongan mantap rakyat terhadap gabungan tersebut.
"Kita terima keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam sistem demokrasi dan Alhamdulillah, walaupun kita tidak melepasi jumlah majoriti, sokongan kepada PN tetap kukuh.
"Ini membuktikan rakyat masih mempunyai keyakinan bahawa PN adalah antara parti yang mempunyai potensi dan masa depan," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilftri DUN Jeram di sini pada Isnin malam.
Turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas lanjut sasaran 18,000 undi yang dinyatakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Azmin menjelaskan jumlah undi diterima gabungan Kerajaan Perpaduan itu tidak memberangsangkan.
"Hakikatnya, mereka hanya memperoleh sekitar 11,000 undi, jauh lebih rendah daripada sasaran yang disebut.
"Ini satu kejayaan besar buat PN kerana kita berjaya menghalang hasrat itu," tambah beliau.
Sementara itu, mengulas kemungkinan berlaku krisis dalam kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yang menjejaskan peluang PN memenangi kerusi itu, Azmin menafikan perkara berkenaan.
"Saya dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) telah berbincang panjang pagi tadi (semalam) Tidak ada sebarang masalah kerana ini hanya proses biasa dalam parti.
"Di (DUN) Ayer Kuning, Pas dan Bersatu telah membuktikan satu kerjasama mantap sehingga kita berjaya mencatatkan prestasi membanggakan dan Insya-ALLAH, ini asas kukuh untuk kita terus memperkuatkan PN," katanya.
Pada Ahad, Saarani menegaskan kegagalan mencapai sasaran 18,000 undi pada PRK itu dipercayai akibat peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 58.07 peratus.
Beliau memaklumkan pihaknya tidak sempat mengkaji trend mengundi di 20 pusat daerah mengundi (PDM) secara mendalam.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, BN berjaya mempertahankan kubu kuat itu dengan kemenangan calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, yang memperoleh majoriti 5,006 undi.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu mendapat 11,065 undi mengatasi calon PN, Abd Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).