'Jangan masa minta peruntukan muka 10 sen, lepas dapat hentam PM dan kerajaan - Ahmad Zahid

GUA MUSANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin pembangkang supaya tidak hanya bermuka manis semasa meminta peruntukan sebaliknya bertindak menghentam Perdana Menteri dan kerajaan selepas menerima peruntukan.

Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah tidak berterima kasih dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jangan masa minta muka senyum, muka sepuluh sen. Bila dapat hentam Perdana Menteri balik. Jangan begitu, mesti bersyukur dan berterima kasih.

"Nak berbeza pendapat boleh, tapi bila tiba pilihan raya mereka hentam Perdana Menteri, saya lumatlah. Saya tidak mahu sebut mana-mana individu atau tokoh politik di Kelantan, tapi itulah yang berlaku," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau situasi itu turut berlaku di Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ujarnya, sikap begitu perlu diubah kerana ia sesuatu yang tidak baik.

"Benar ada peruntukan yang harus disalurkan, tapi yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah atas semangat Kerajaan Madani. Salah satu sikap kerajaan Madani adalah ihsan," katanya.