Model kerjasama BN-PH formula majukan negara - Anthony Loke

SEREMBAN - Model kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja dapat menstabilkan keadaan politik negara, tetapi juga formula dan ramuan untuk memajukan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, gabungan itu secara tidak langsung dapat membentuk sebuah pentadbiran yang stabil dan kuat.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada BN atas kejayaan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

"Kemenangan ini bukan sahaja memberi mandat kepada calon BN, tetapi merupakan satu manifestasi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana majoritinya meningkat satu kali ganda.

"Saya tak faham apa dikatakan kalau majoriti itu meningkat, dia kata itu kalah, undi berkurangan... itu orang gagal matematik," katanya ketika Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini pada Isnin.

Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, kemenangan diraih Kerajaan Perpaduan itu membuktikan rakyat menolak politik kebencian, berdasarkan fitnah dan politik yang ingin memecah belahkan rakyat Malaysia.

Jelasnya, rakyat negara ini secara amanya ingin melihat satu politik lebih inklusif, politik kesepakatan, kerjasama dan perpaduan.

"Ini kerana dengan adanya kesepakatan dan kerjasama ini, maka negara akan terus makmur dan maju ke hadapan.

"Kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan merupakan satu elemen penting untuk kita memastikan kelangsungan pentadbiran yang baik terutama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri," katanya.