Pas perlu bantu perjuangkan pelaksanaan Titah Adendum - Zaid

SHAH ALAM - Pas diminta membantu secara aktif memperjuangkan pelaksanaan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menyuarakan perkara itu berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, keadilan merupakan pertimbangan tertinggi dalam agama dan sekurang-kurangnya dalam satu aspek, Najib berhak mendapat layanan yang betul dan adil berkenaan Titah Adendum itu.

"Saya berharap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin, seorang peguam yang berani dapat meyakinkan Pas untuk membawa isu Titah Adendum sampai ke penghujungnya. Ini boleh menjadi perkara besar.

"Kita tidak tahu sama ada keputusan pilihan raya umum yang akan datang bakal bergantung kepada sejauh mana parti Islam membawa kes ini, yang mempunyai kepentingan awam," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, Peguam Negara (AG) dilapor berjaya mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

Perkara itu diputuskan panel tiga hakim, dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Susulan itu, AG dibenarkan untuk merayu, dengan mahkamah bakal mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada 1 dan 2 Julai depan.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hakim, Hasnah berkata, mahkamah mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh AG selaku pemohon merupakan isu baharu yang belum pernah didengar dan ia menyentuh isu kepentingan awam.

Dalam pada itu Mohd Zaid menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan AG membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan perkara yang mengejutkan.