Majoriti bertambah di PRK Ayer Kuning, bukti rakyat kembali sokong BN - Ahmad Zahid

GUA MUSANG - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dengan pertambahan majoriti daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain membuktikan rakyat sudah kembali menyokong parti tersebut.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun terdapat beberapa analisis mendakwa calon di PRK Ayer Kuning tidak mendapat sokongan besar, hakikatnya BN hanya kekurangan undi di satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) sahaja, itu pun dengan perbezaan sebanyak 88 undi.

"Manakala di PDM-PDM lain, kita telah berjaya merampas sepenuhnya. Ini menunjukkan peningkatan sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu, tetapi juga daripada pengundi Cina, India dan Orang Asli," katanya.

**media[3103563]**

Beliau berlata demikain pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, pada Isnin.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Menurut beliau, walaupun kadar keluar mengundi hanya 58 peratus, faktor itu dipercayai disebabkan pengundi Ayer Kuning yang tinggal di luar kawasan tidak pulang selepas sambutan Hari Raya dan perayaan lain sebelum ini.

Ujarnya, paling penting, BN bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi tersebut, malah majoriti yang diperoleh juga meningkat lebih dua kali ganda.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa syukur atas kekuatan jentera parti dan kesungguhan semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang kempen PRK.

"Syukur, jentera kita bekerja kuat dan ia terbukti apabila pengundi kembali menyokong UMNO dan BN," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas peranan beliau sebagai Pengerusi BN Perak dan Pengarah Pilihan Raya di negeri itu yang berjaya memastikan kemenangan dalam PRK Ayer Kuning baru-baru ini.