Akmal pertahan pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan Cabang PKR Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempertahankan tindakannya mengumumkan keputusan tidak rasmi bagi proses Pemilihan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru yang diumumkan pada 20 April lalu.

Akmal Nasrullah berkata, jumlah 949 undi yang diumumkan adalah berdasarkan data sahih diperoleh daripada Borang 14, senarai nama pengundi serta maklumat ejen mengundi berpengalaman.

"Pengumuman angka tidak rasmi bukanlah sesuatu yang janggal dalam mana-mana pilihan raya. Sebagai contoh, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, keputusan tidak rasmi turut diumumkan seawal jam 8.30 malam sebelum keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ingin ditekankan, proses pengundian dalam Pemilihan Cabang Keadilan ini tidak sama dengan pilihan raya umum (PRU). Tempat berkumpul yang dibenarkan ini dikawal sepenuhnya untuk penyokong kami hadir dan mengundi.

"Pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) juga membenarkan calon membuka tempat berkumpul bagi melancarkan proses pengundian dan kami telah membuat pemakluman rasmi kepada JPP melibatkan 40 lokasi berkumpul," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas bantahan rasmi dikemukakan Ketua Cabang PKR Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail, terhadap kenyataan yang didakwa mendahului pengumuman rasmi JPP selain disifatkan sebagai cubaan menekan jawatankuasa itu menerima angka berkenaan sebagai muktamad.

Mohamad Taufiq turut membantah tindakan Akmal Nasrullah membuat Akuan Bersumpah (SD) pada 23 April lalu bagi menyokong jumlah undi tersebut, yang didakwa mencetuskan kebimbangan berhubung kerahsiaan undian.

Mengulas lanjut, Akmal menjelaskan SD berkenaan dibuat oleh Ketua Operasi Get Out The Vote (GOTV) pasukannya, Stanley Tan, bagi mengesahkan kesahihan dokumen bukti yang dikumpulkan.

"Dokumen berkenaan termasuk Borang 14, senarai tandatangan penyokong serta kompilasi tangkapan layar berkaitan.

"SD ini diwujudkan bagi memastikan bukti dokumen dan keterangan saksi boleh diterima dalam mana-mana prosiding atau siasatan, mengikut Akta Akuan Berkanun 1960," katanya.