Mohamad Yusri syukur dipilih jadi ADUN Ayer Kuning

TAPAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning yang baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir berazam akan akan menunaikan segala janji dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan terbabit.

Mohamad Yusri, 54, berkata, setiap perancangan akan diusahakan sebaik mungkin agar dapat direalisasikan demi manfaat seluruh rakyat Ayer Kuning.

“Insya-ALLAH, apa yang kita tawarkan melalui tekad dalam manifesto itu akan diusahakan sehingga mencapai tahap yang baik demi keselesaan serta kebaikan penduduk di DUN Ayer Kuning,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, BN berjaya membuktikan kerusi DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila Mohamad Yusri menang dalam PRK pada Sabtu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi.

Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya memperoleh 11,065 undi.

Pencabarnya, Abd Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) memperolehi 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, yang bertanding kali kedua di kerusi sama meraih 1,106 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Ayer Kuning pada jam 9.36 malam.

Menurut Ahmad Redhauddin, sebanyak 289 kertas undi ditolak dan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 58.07 peratus.

Kemenangan calon BN di DUN Ayer Kuning ini menyaksikan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan 33 kerusi DUN di Perak manakala Perikatan Nasional (PN) dengan 26 kerusi.

DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.