SHAH ALAM - Fenomena ‘badan tanpa kepala’ yang berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini dilihat sebagai petunjuk bahawa kepimpinan utama dalam sesebuah pasukan mula kehilangan kepercayaan akar umbi meskipun barisan pasukannya masih mendapat sokongan.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, senario di mana ketua cabang gagal mempertahankan jawatan sedangkan majoriti ahli jawatankuasa (AJK) daripada pasukannya menang, menandakan satu bentuk penolakan bersasar terhadap kepimpinan individu tertentu.
“Fenomena seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu atau mengejutkan dalam politik parti. Ia merupakan signal jelas bahawa figura utama yang mengepalai sesebuah pasukan telah hilang sokongan di peringkat akar umbi.
“Dalam konteks ini, ahli mungkin merasakan bahawa ketua gagal membawa aspirasi perjuangan atau tidak lagi mewakili suara mereka, justeru mereka memilih untuk mengekalkan pasukan tetapi menggantikan kepala,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan kekalahannya dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu mendakwa wujud beberapa kejanggalan sepanjang proses pengundian baru-baru ini yang disifatkannya sebagai ‘fenomena badan tanpa kepala’.
Mengulas lanjut Ariff Aizuddin berkata, fenomena yang berlaku ini menampakkan sedikit kegelinciran dalam sistem pentadbiran parti.
Jelasnya, jika isu seperti ini tidak ditangani dengan bijak, ia akan membentuk persepsi yang kritikal dalam kalangan ahli bahawa proses demokrasi kepartian ini tidak berfungsi sepenuhnya.
Dalam pada itu ditanya sama ada seorang ketua kumpulan lain mampu memberi arahan kepada anak buah yang pada asalnya daripada kumpulan berbeza, beliau berkata, ia mungkin boleh dilakukan.
“Bagaimanapun untuk jangka waktu panjang, ia akan mewujudkan jurang yang lebih dalam di mana akan terbentuknya kem-kem yang akan bertindak mengikut agenda masing masing. Ini akan meretakkan lagi hubungan sesama ahli dalam parti,” ujar beliau.