Kepimpinan PN tidak lemah, banyak capai kejayaan - Muhyiddin

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kepimpinan gabungan tersebut di bawah pimpinannya tidak lemah, sebaliknya telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan, terutamanya dalam pilihan raya peringkat negeri.

Menurut beliau, kejayaan tersebut jelas kelihatan melalui pencapaian dalam pilihan raya negeri (PRN) di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah yang akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan PN.

"Kita juga kini mempunyai wakil dalam jawatan Exco, Timbalan Speaker, dan beberapa jawatan penting lainnya.

"Di Pahang dan Perak, meskipun kita memperoleh jumlah kerusi yang besar, kita gagal membentuk kerajaan negeri kerana kerusi yang ada tidak mencukupi, dan UMNO memilih untuk bekerjasama dengan DAP," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Sukan Pagoh di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PN yang dijangka melaksanakan rombakan struktur pimpinannya, beliau berkata, perkara berkenaan sudah dilakukan baru-baru ini.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi PN terbuka dengan sebarang cadangan untuk menambah baik gabungan itu pada masa depan.