Keputusan cabang PKR JB: Taufik bantah kenyataan Akmal Nasir

JOHOR BAHRU – Ketua Cabang Keadilan Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail, telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung kenyataan yang dibuat oleh mantan Ketua Cabang, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut Taufiq, Akmal Nasrullah telah mengeluarkan keputusan tidak rasmi berhubung jumlah undi bagi jawatan Ketua Cabang menerusi media sosial pada 20 April lalu dengan menyatakan jumlah 949 undi tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada JPP.

“Kenyataan tersebut mendahului pengumuman rasmi JPP dan seolah-olah cuba menekan pihak jawatankuasa untuk menerima angka itu sebagai muktamad,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip ketelusan yang diamalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk keperluan pengesahan Borang 14 oleh semua ejen calon.

Taufiq turut membantah tindakan Akmal yang membuat Akuan Bersumpah (SD) pada 23 April lalu yang didakwa menyokong jumlah undi berkenaan.

Beliau mendakwa SD itu memberi gambaran bahawa undi telah direkod dan disimpan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kerahsiaan undian.

“Ini bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan ahli terhadap proses pemilihan, malah membuka ruang kepada implikasi undang-undang serta serangan politik daripada pihak lawan,” ujarnya lagi.

Taufiq turut melampirkan gambar yang didakwa menunjukkan senarai ‘cai’ digunakan oleh pihak Akmal untuk mempengaruhi pengundi semasa proses undian.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa dan Majlis Pimpinan Pusat menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas bagi menjaga integriti dan imej parti.