Ahli Parlimen Bayan Baru umum tanding Naib Presiden PKR

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan pusat parti bulan depan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas 26 tahun terlibat dalam parti berkenaan.

"Sebagai Pengarah Strategi Pusat paling lama berkhidmat (2013–2022), saya memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah menukar kerajaan Persekutuan pada tahun 2018.

"Saya juga pernah didakwa di mahkamah dalam kes 'Kita Lawan' pada tahun 2015, jika disabitkan, saya berisiko kehilangan segala-galanya namun memilih untuk membujur lalu, melintang patah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Selain Tze Tzin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun; Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan dan Nurul Izzah Anwar antara yang telah mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

Dalam pada itu Tze Tzin menjelaskan, ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian beliau berjaya memperluaskan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada lebih 200,000 nelayan miskin dan membolehkan golongan itu turun ke laut dengan yakin dan terlindung.

Selain itu beliau turut menawarkan tiga aspirasi utama iaitu membantu misi Perdana Menteri untuk membasmi kemiskinan, memenangkan sekurang-kurangnya 60 kerusi kritikal demi memperkukuh kedudukan parti serta mengusulkan penubuhan sebuah Biro Keahlian sepenuh masa sekiranya diberi mandat.

"Sepanjang perjalanan politik, saya konsisten mendukung idealisme Reformasi dan melaksanakan idealisme ini di Cabang Bayan Baru yang mana kami berjaya memenangi empat kali pilihan raya berturut-turut, meraih kemenangan di semua kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN dengan majoriti semakin meningkat.

"Berdasarkan pengalaman panjang dan kesetiaan saya kepada perjuangan parti, saya dengan rendah hati memohon sokongan daripada semua ahli PKR," ujarnya.