Muhyiddin sindir Ahmad Zahid, siapa sebenarnya bermimpi?

MUAR – Dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa usaha menjalin semula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanyalah “mimpi di siang hari” dibidas PN yang menyifatkannya sebagai penafian terhadap politik semasa.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Ahmad Zahid cuba meyakinkan penyokong bahawa UMNO kekal dengan prinsip perjuangannya, namun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.

"Ini bukan mimpi di siang hari tapi sudah berlaku. Itu realiti. Dia (Ahmad Zahid) hendak nafi apa pun, dia kata BN-UMNO bukan UMNO-DAP.

"Tetapi yang nyata, dia bermimpi di siang hari. Rakyat tak bermimpi, rakyat melihat hakikat kenyataan yang berlaku pada hari ini. Di mana orang melihat ia satu pengkhianatan pada perjuangan asal mereka," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, pada Sabtu.

Pada Jumaat, BN memberi bayangan jelas untuk tidak kembali menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Perak.

Ahmad Zahid turut menyifatkan hasrat yang dikemukakan oleh pemimpin PN itu sebagai mimpi di siang hari.

Menurutnya, cadangan tersebut datang dalam keadaan terdesak, khususnya selepas PN didakwa kehilangan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjelang hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) yang hanya tinggal beberapa jam.

Bekas Perdana Menteri itu turut membidas kepimpinan UMNO yang dilihat membisu dalam pelbagai isu, termasuk isu sensitiviti melibatkan bendera dan agama.

"Bila ada kepincangan dalam negara berkaitan soal agama, bangsa dan lain-lain, UMNO dilihat bukan lantang menyuarakan, malahan isu bendera jadi sudah tinggal nama sahaja.

"Realitinya, rakyat sudah sedar. Situasi semasa ini harus dijadikan pengajaran kepada rakyat agar mereka menggunakan kuasa undi pada pilihan raya akan datang untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan sedia ada," ujarnya.