Tiada keperluan terburu-buru adakan PRN Johor - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU - Johor tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) meskipun tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan negeri ketika ini berada pada tahap yang baik.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, masih banyak perkara yang boleh dilakukan untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum mempertimbangkan sebarang pembubaran.

“Terpulang kepada rakyat untuk menilai prestasi kerajaan negeri. Pada saya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah melaksanakan tugas dengan baik.

“PRN boleh diadakan bila-bila masa selepas tamat tempoh penggal, namun perlu ada kajian menyeluruh terhadap tahap sokongan dan penerimaan rakyat.

“Ini termasuk dasar-dasar serta khidmat yang dilaksanakan Menteri Besar, barisan Exco dan wakil rakyat bagi mendapatkan indikator bahawa masa itu benar-benar sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Outreach Meriah Raya Bersama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan menekankan kepentingan memberi pendedahan dan kesedaran mencukupi kepada pengundi berusia 18 tahun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, golongan muda ini perlu difahamkan tentang sistem demokrasi negara supaya mereka tidak keliru ketika memilih wakil rakyat yang akan mewakili kawasan masing-masing.

“Kita ibaratkan anak muda ini seperti kain putih, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk mencorakkan pemikiran mereka dengan maklumat yang betul.

“Ia bukan soal menyebelahi mana-mana pihak, tetapi supaya mereka memahami fungsi sebenar demokrasi,” ujarnya.

Tambah beliau, pengundi muda juga perlu dilindungi daripada pengaruh dakyah politik serta maklumat palsu yang tular di media sosial terutamanya berkaitan isu-isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Katanya lagi, meskipun pengundi muda berusia 18 tahun hanya mewakili satu hingga dua peratus jumlah pengundi keseluruhan, mereka tetap berpotensi mempengaruhi keputusan di kawasan tertentu.